Berita

RAJA DITAATI, NEGARA DIRAHMATI

19 Julai 2024 ~

Khutbah Jumaat yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid di negeri Selangor harini membawa tajuk ‘RAJA DITAATI, NEGARA DIRAHMATI’.

Antara intipati penting khutbah hari ini adalah merujuk kepada lafaz angkat sumpah ketika Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong, yang telah menekankan dengan jelas Baginda akan menjalankan pemerintahan dengan adil menurut undang-undang dan Perlembagaan. Baginda turut telah melafazkan ikrar untuk memelihara kesucian agama Islam sesuai dengan bidang kuasa yang telah diperuntukkan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia.

Justeru, Istiadat Pertabalan yang akan berlangsung esok (20 Julai 2024) adalah sangat signifikan kerana ia lambang kepada sistem raja berperlembagaan di Malaysia serta ia menjulang tinggi darjat Yang di-Pertuan Agong yang bertindak sebagai payung negara.

Hubungan raja dan rakyat ini diibaratkan seperti pohon pokok iaitu raja umpama pohon dan rakyat sebagai akarnya. Maka sudah tentulah pohon tidak berupaya hidup tanpa akar yang kuat dan akar pula sangat perlukan pohon yang hidup dan menjalankan fungsinya dengan baik. Inilah disebut sebagai hubungan simbiosis yang menunjukkan raja memerlukan rakyat dan rakyat juga memerlukan raja sebagai tempat berlindung.

Perlu kita fahami bahawa Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja-Raja Melayu harus dipertahankan kerana kita telah berada dalam institusi ini dengan acuan kita sendiri. Rakyat dapat hidup aman damai dengan sistem ini tanpa kekacauan atau haru-biru kerana kita percaya bahawa kita mempunyai seorang raja berdaulat yang merupakan pemerintah tertinggi negara kita bergelar Yang di-Pertuan Agong yang termasuk dalam Ulil Amri (pemimpin) yang wajib ditaati.

Fudhayl bin ‘Iyadh, seorang ulama yang sangat zuhud dan wara’ pernah mengungkapkan:

“Seandainya aku memiliki doa yang mustajab, aku akan tujukan doa tersebut pada pemimpinku”.

Ada yang bertanya pada Fudhail, “Kenapa begitu?”.

Beliau menjawab, “Jika aku tujukan doa tersebut kepada diriku sahaja, maka itu hanya bermanfaat untukku. Namun jika aku tujukan untuk pemimpinku, maka rakyat dan negara turut akan mendapat kebaikan”.