Image Banner

MAJLIS PELANCARAN LAMAN WEB KHUTBAH JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR DAN PENYERAHAN DANA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN

MAJLIS PELANCARAN LAMAN WEB KHUTBAH JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR DAN PENYERAHAN DANA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN
SHAH ALAM, 24 November 2023 – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Pelancaran Laman Web Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Mengiringi baginda Tuanku, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Hadir sama Exco Agama Negeri Selangor, Dr Fahmi bin Ngah, Pengerusi MAIS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Mufti Selangor, Dato' Dr. Haji Anhar bin Opir dan Pengarah JAIS, Dato’ Haji Mohd Shahzihan bin Ahmad.
Laman web khutbah JAIS ini dibangunkan atas titah DYMM Tuanku untuk dijadikan medium ilmu melalui perkongsian teks khutbah, khutbah multimedia, infografik, petikan dan berita-berita berkaitan. Laman web e-Khutbah memuatkan himpunan teks khutbah bermula dari tahun 2000 sehingga kini, dengan dikemaskini setiap minggu. Laman web ini juga menyediakan ruang maklum balas kepada jemaah untuk membuat penilaian terhadap isi kandungan khutbah yang disampaikan untuk tujuan penambahbaikan.
Untuk rekod, teks khutbah JAIS dari tahun 2000 sehingga 2010 adalah dalam format tulisan Jawi sahaja manakala bermula 2011 teks khutbah JAIS adalah dalam format tulisan Jawi, Rumi dan juga diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris. Laman web e-Khutbah juga menyediakan infografik dan multimedia khutbah untuk dipaparkan secara digital di masjid-masjid dan surau-surau di negeri Selangor ketika khutbah Jumaat diadakan.
Dalam majlis yang sama, Baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan Dana Tabung Kemanusiaan Palestin hasil daripada kutipan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) dengan jumlah RM4,374,280.63 kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff.
Terdahulu, DYMM Sultan Selangor telah menitahkan agar pengumpulan dan penyaluran sumbangan rakyat Selangor dapat dibuat dan diselaraskan melalui TIJARI bermula 13 Oktober 2023. JAIS melalui TIJARI telah menubuhkan Tabung Kemanusiaan Palestin bagi menyelaras semua kutipan dana yang dikumpul daripada seluruh masjid dan surau di negeri Selangor sejak 13 Oktober 2023 sehingga 24 November 2023.
#jabatanagamaislamselangor
#islamicsaviourobedience
#kitaselangor

LAGI

DYMM SULTAN SELANGOR MENYERU SEKALIAN RAKYAT KHUSUSNYA UMAT ISLAM AGAR MENGHAYATI DAN MEMAHAMI INTIPATI KHUTBAH JUMAAT YANG DISAMPAIKAN OLEH KHATIB DI MASJID-MASJID NEGERI SELANGOR HARI INI BERTAJUK “PEMIMPIN DAN NEGARA”.

21 Oktober 2022 ~ DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru sekalian rakyat khususnya umat Islam agar menghayati dan memahami intipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid-masjid Negeri Selangor hari ini bertajuk “Pemimpin dan Negara”.
Senada dengan khutbah berkenaan, Baginda turut ingin mengingatkan para pemimpin bahawasanya pemimpin yang hanya mahukan kuasa dan mencari kekayaan dunia akan menjadi perosak dan pengkhianat kepada rakyat dan negara.
Sesungguhnya pemimpin yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah akan menyebabkan pemimpin itu sendiri terjerumus ke dalam aktiviti bersifat kemunafikan dan kemaksiatan seperti mengamalkan amalan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan menyebarkan fitnah yang mengakibatkan kerosakan sebuah kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Baginda ingin menegaskan bahawa pemimpin yang khianat, menipu dan menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan diri pasti akan dibenci oleh rakyat dan dikutuk oleh Allah SWT kerana boleh menjahanamkan negara. Rosaknya pemimpin maka rosaklah negara ibarat kata pujangga “jika keruh air di hulu, maka keruhlah ia di hilir”.
Pemimpin berintegriti, jujur dan beramanah bukan sahaja akan mengubah landskap dan ekosistem kehidupan bermasyarakat, bahkan akan memacu negara untuk mencapai matlamat yang telah dirangka agar menjadi sebuah negara mampan, stabil, dihormati dan beridentiti, bukannya sebuah negara yang dikenali dengan kemunafikan, penuh dengan isu dan kontroversi salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah, pengkhianatan serta adu domba yang merosakkan penjanaan keutuhan dan perpaduan bangsa dan negara.
Integriti adalah kepatuhan kepada prinsip-prinsip beragama, nilai dan norma sejagat dan etika yang kuat. Insan terbaik yang sangat kita cintai, iaitu junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, Baginda telah menonjolkan dirinya sebagai ikon hamba Allah yang berintegriti tinggi, sehingga dikenali dengan gelaran ‘al-Amin’, iaitu ‘yang sangat dipercayai’ dalam kalangan masyarakat Islam ketika itu.
Integriti berlandaskan nilai-nilai Islam yang berpaksikan kepada kekuatan akidah, syariah dan akhlak adalah penyelesaian terbaik kepada kerosakan dan kemelut yang berlaku dalam diri, organisasi dan negara hari ini.
Sedarlah wahai pemimpin, janganlah kamu menjadi pengkhianat terhadap amanah yang diberikan.
Sifat jujur dan amanah hendaklah menjadi identiti yang sebati dalam diri pemimpin. Pemimpin hendaklah menyerlahkan bukan sahaja kelembutan budi bahasa, tetapi kemuliaan akhlak dari sudut kejujuran dan keikhlasan serta boleh diyakini dan dapat dipercayai oleh rakyat bahkan mengundang kehormatan daripada negara-negara lain di dunia. Pada masa yang sama, pemimpin yang jujur dan amanah pastinya seorang pemimpin yang bukan sahaja jujur kepada orang lain, bahkan pada diri sendiri.

Credit foto & artikel : Facebook Rasmi Selangor Royal Office

LAGI

DYMM SULTAN SELANGOR MENYERU UMAT ISLAM DI NEGERI SELANGOR AGAR MEMAHAMI DAN MENGHAYATI INTIPATI KHUTBAH JUMAAT BERTAJUK “DOSA MENGUMPAT DAN MENCACI” YANG DIBACAKAN OLEH KHATIB DI MASJID-MASJID SELURUH NEGERI SELANGOR

21 Julai 2023 ~ DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru umat Islam di negeri Selangor agar memahami dan menghayati intipati Khutbah Jumaat bertajuk “DOSA MENGUMPAT DAN MENCACI” yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid seluruh negeri Selangor, hari ini.
Senada dengan isi kandungan khutbah berkenaan, Baginda turut ingin menekankan bahayanya perbuatan mengumpat, mencela, mencaci, memaki hamun apatah lagi memfitnah yang mana ianya tergolong di dalam dosa besar yang lebih buruk daripada membunuh.
Titah Baginda, segala perbuatan dan tingkah laku seumpamanya bukan hanya menjatuhkan maruah diri malah mengundang kepada sengketa dan permusuhan yang berpanjangan hingga menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat.
Baginda sebelum ini sering menasihati umat Islam agar tidak terjerumus di dalam perbuatan terkutuk dan tercela ini. Baginda bimbang jika amalan memfitnah serta caci-mencaci ini tidak dibendung, perpecahan umat Islam khususnya di Selangor ini akan menjadi semakin parah dan tidak terkawal.
Menerusi pemerhatian Baginda, perbuatan fitnah dan caci-mencaci ini menjadi lebih ketara dan dilakukan tanpa rasa takut dan malu kepada Allah SWT setiap kali menjelang pilihanraya, seolah-olah musim menjelang pilihanraya adalah pesta yang menghalalkan mencaci maki, mengumpat dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi dari rakyat.
Baginda juga pernah berpesan ketika pembubaran Dewan Negeri Selangor pada 19 Jun yang baru lalu bahawa isu-isu berkaitan dengan kaum, agama dan Institusi diraja tidak seharusnya diheret bagi dijadikan bahan berkempen. Baginda menegaskan perkara ini agar perbalahan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam tidak berlaku dan hubungan antara kaum di Negara ini tidak terjejas.
Tegas Baginda, Islam amat mengutamakan keharmonian hidup bermasyarakat dan menekankan umatnya untuk sentiasa berbaik-baik sesama umat Islam dan bertoleransi dengan orang-orang bukan Islam mengikut lunas, batas dan akhlak Islam.
Perlembagaan Persekutuan telah menjamin Islam sebagai agama Persekutuan dan ianya akan tetap terpahat dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak.
Raja dan Sultan pula berperanan sebagai Ketua Agama bagi negeri-negeri dan mestilah dihormati dan ditaati sama ada suka atau sebaliknya selagi mereka patuh kepada perintah Allah SWT serta tidak menyuruh melakukan maksiat. Sultan adalah payung yang melindungi sekalian rakyat jelata di bawah naungannya. Ini berdasarkan hadis nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahuanhuma:
“Wajib ke atas seorang muslim dengar dan taat (kepada ulil amri) dalam perkara yang dia suka atau benci, melainkan disuruh untuk melakukan maksiat, maka jika disuruh untuk melakukan maksiat, tidak perlu dengar dan taat.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Undang-undang negara kita juga memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang melakukan fitnah, penghinaan kepada Institusi raja serta mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini seperti Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Oleh itu, Baginda mengingatkan umat Islam agar berhati- hati dalam apa yang diperkatakan dan jangan sampai menjadi bak kata Pepatah Melayu, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.
Sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri, semua calon dan penyokong diingatkan bahawa tempoh berkempen bukanlah lesen untuk mengumpat, mencela, mencerca, menghina dan memfitnah orang lain dengan sebebasnya.
Ingatlah hukum-hakam Allah SWT akan tetap berjalan dalam keadaan apapun, dan tiada sebab yang boleh menghalalkannya. Ingatlah dan takutlah akan siksa Allah SWT yang amat perit yang menanti di akhirat kelak, janji Allah SWT untuk menghukum dan menyiksa mereka yang mengumpat dan memfitnah adalah benar dan tidak boleh sama sekali kita anggap remeh.

Credit foto & artikel : Facebook Rasmi Selangor Royal Office

LAGI

DYTM RAJA MUDA SELANGOR TENGKU AMIR SHAH BERKENAN BERANGKAT MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT BERSAMA RAKYAT JELATA DI MASJID SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH

4 Ogos 2023 ~ DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat menunaikan Solat Jumaat bersama rakyat jelata di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Khutbah Jumaat yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid Negeri Selangor memberi tumpuan kepada tajuk “AMANAH; BENARKAH SIFAT YANG MAKIN TERHAKIS?”
Antara intipati khutbah yang wajar diambil iktibar adalah ingatan kepada pegawai-pegawai dari Agensi-agensi Islam Negeri Selangor yang diamanahkan menjaga dan mengurus wang umat Islam seperti wang zakat, Baitul Mal, dana anak yatim, dana infak umat Islam, dana infak jemaah masjid dan surau serta wang fidyah, diingatkan agar terus memelihara amanah yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan penuh kejujuran.
Ini kerana sejak kebelakangan ini kita sering mendengar kes-kes yang melibatkan umat Islam terpalit dengan amalan rasuah, penyelewengan wang yang diamanahkan serta ketiadaan integriti.
Hilangnya sifat amanah dari kalangan pegawai, bererti terancamlah sumber kewangan Islam bagi memakmurkan kehidupan umat Islam. Justeru, takutilah azab dan hukuman Allah yang menanti di alam barzakh dan di akhirat nanti dengan tidak mengkhianati amanah yang dipikul.
Kegagalan dalam menjaga amanah dan tidak jujur akan menghakis keyakinan masyarakat terhadap Institusi agama Islam.
Jauhilah sikap yang menganggap kedudukan adalah suatu keistimewaan, menggunakan jawatan dan kuasa untuk mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri. Jangan biarkan hasutan syaitan dan kerakusan nafsu mengawal diri sehingga sanggup menggadai maruah diri.
Jika umat Islam yang diamanahkan menjaga dan mengurus harta umat Islam sanggup khianat dan menipu, maka pada siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan umat Islam ini.
Maka, beringatlah, jangan kita mempersia-siakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.
Walaupun nilai amanah itu mungkin kelihatan kecil di mata kita, namun ianya tetap dihitung dan dibalas oleh Allah SWT.
Jadilah umat Islam yang sentiasa peka dan menzahirkan penentangan terhadap segala pengkhianatan di depan mata.

Credit foto & artikel : Facebook Rasmi Selangor Royal Office

LAGI

DYMM SULTAN SELANGOR MENYERU SEKALIAN RAKYAT NEGERI SELANGOR AGAR MENGHAYATI INITIPATI KHUTBAH JUMAAT YANG DISAMPAIKAN OLEH KHATIB DI MASJID SELURUH NEGERI SELANGOR HARI INI.

20 Oktober 2023 ~DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru sekalian rakyat Negeri Selangor agar menghayati initipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid seluruh Negeri Selangor hari ini.
Mimbar Jumaat membicarakan khutbah bertajuk “MENJADI UMAT TERBAIK”.
Paling penting, seiring dengan saranan khutbah, Baginda menyeru umat Islam agar menjadikan kelaziman untuk mendoakan kesejahteraan dan keamanan di bumi Palestin setiap kali selepas menunaikan solat fardhu 5 waktu.
Doa yang dibaca oleh khatib hari ini antara yang boleh dijadikan panduan:-
“Ya Allah Ya Tuhan kami! Selamatkanlah saudara kami kaum muslimin yang ditindas di bumi Palestin dan di mana sahaja mereka berada. Ya Allah! sayangi dan kasihilah mereka, keluarkanlah mereka dari penindasan serta kesempitan yang mereka alami selama ini. Dengan kuasa-Mu Ya Allah, jadikanlah sebab perjuangan dan doa kami semua, kau kembalikan tanah mereka yang dirampas. Kau hapuskanlah kezaliman yang ada di muka bumi ini. Berikanlah keadilan kepada mereka yang dianiaya serta dizalimi. Ya Allah!Anugerahkanlah kemenangan kepada saudara kami kaum muslimin di Palestin. Berikanlah kepada pejuang-pejuang Islam serta rakyat Palestin kekuatan serta kesabaran menghadapi
kekejaman musuh. Ya Allah! Binalah semula keamanan di bumi Palestin dan kembalikannya ke pangkuan kaum Muslimin.”
Menyentuh mengenai saranan khutbah hari ini, Baginda menegaskan bahawa ciri umat terbaik adalah umat yang berintegriti, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia.
Ke arah itu, Baginda mahu rakyat menerapkan aspek berikut:-
1. Jauhi sebarang bentuk fitnah dan penyebaran maklumat palsu.
2. Hindari diri daripada persepsi negatif dengan mencetuskan sentimen fanatik perkauman, hasutan serta unsur yang bercanggah dengan nilai Islam.
3. Konsisten dalam menyeru manusia beriman ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran
4. Bersama-sama menggembleng tenaga tanpa prejudis dan konspirasi demi menjamin keharmonian.

Credit foto & artikel : Facebook Rasmi Selangor Royal Office

LAGI

DYMM SULTAN SELANGOR BERKENAN MENZAHIRKAN PENGHARGAAN DAN MEMBERI KREDIT KEPADA BARISAN AHLI JAWATANKUASA KHUTBAH DAN PANEL KHUTBAH NEGERI SELANGOR

27 Januari 2023 ~ DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenaan menzahirkan penghargaan dan memberi kredit kepada barisan Ahli Jawatankuasa Khutbah dan Panel Khutbah Negeri Selangor bagi tahun 2021-2023 yang telah menghasilkan teks-teks Khutbah Jumaat yang amat baik dan cemerlang sejak tahun lalu.

Titah Baginda, topik yang dipilih serta isi kandungan khutbah-khutbah Jumaat yang disampaikan setiap minggu amat bertepatan dan sesuai dengan situasi semasa, dan ada kaitan dengan isu-isu yang sedang didepani oleh umat Islam dan masyarakat di negara ini.

Baginda berpandangan isi kandungan khutbah Jumaat yang difokuskan juga adalah padat, tepat dan mudah difahami oleh masyarakat dengan penggunaan bahasa yang ringkas dan jelas.

Antara tajuk-tajuk yang menyentuh tentang hal-hal semasa yang pernah diketengahkan dalam khutbah Jumaat seperti Bahana Nikah Sindiket, Rasuah, Bahaya Pemikiran Islam Liberal, Kewajipan Mengundi Dalam Pilihanraya, Banggakah Kita Jadi Tukang Viral Fitnah di Media Sosial, Sultan Adil dan Bijak Dambaan Rakyat, Lindungi Harta Awasi Scammer, Derma Organ Demi Kehidupan, Hati-hati Dengan Hati, Biarkan Luncai Terjun Dengan Labu-labunya, Fitnah Merosakkan Ummah, Iktibar Balik Kampung, Islam Menolak Pluralisme Agama dan Vaksin Ikhtiar Terbaik.

Khutbah Jumaat minggu ini pula membawa tajuk Bijak Menyingkapi Pendapat.

Lazimnya, Baginda akan disembah maklum dengan isi kandunbeberapa hari sebelum, di mana Baginda sendiri teruja menantikan kupasan tajuk-tajuk yang dipilih.

Baginda berharap Ahli Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh YAD Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin serta Panel Khutbah yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sahibus Samahah Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, akan meneruskan momentum cemerlang ini dan tampil dengan tajuk, naratif dan isi kandungan khutbah Jumaat yang relevan dengan keadaan semasa.

Apa yang lebih penting, Baginda mahu agar khutbah Jumaat menjadi antara platform wajib bagi umat Islam di Malaysia untuk merangsang dan menyegarkan kembali pemikiran mereka mengenai isu-isu berkaitan syiar Agama Islam.

Credit foto & artikel : Instagram Rasmi Selangor Royal Office

LAGI

Image News

Image Banner