4 Ogos 2023 ~ DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat menunaikan Solat Jumaat bersama rakyat jelata di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Khutbah Jumaat yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid Negeri Selangor memberi tumpuan kepada tajuk “AMANAH; BENARKAH SIFAT YANG MAKIN TERHAKIS?”
Antara intipati khutbah yang wajar diambil iktibar adalah ingatan kepada pegawai-pegawai dari Agensi-agensi Islam Negeri Selangor yang diamanahkan menjaga dan mengurus wang umat Islam seperti wang zakat, Baitul Mal, dana anak yatim, dana infak umat Islam, dana infak jemaah masjid dan surau serta wang fidyah, diingatkan agar terus memelihara amanah yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan penuh kejujuran.
Ini kerana sejak kebelakangan ini kita sering mendengar kes-kes yang melibatkan umat Islam terpalit dengan amalan rasuah, penyelewengan wang yang diamanahkan serta ketiadaan integriti.
Hilangnya sifat amanah dari kalangan pegawai, bererti terancamlah sumber kewangan Islam bagi memakmurkan kehidupan umat Islam. Justeru, takutilah azab dan hukuman Allah yang menanti di alam barzakh dan di akhirat nanti dengan tidak mengkhianati amanah yang dipikul.
Kegagalan dalam menjaga amanah dan tidak jujur akan menghakis keyakinan masyarakat terhadap Institusi agama Islam.
Jauhilah sikap yang menganggap kedudukan adalah suatu keistimewaan, menggunakan jawatan dan kuasa untuk mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri. Jangan biarkan hasutan syaitan dan kerakusan nafsu mengawal diri sehingga sanggup menggadai maruah diri.
Jika umat Islam yang diamanahkan menjaga dan mengurus harta umat Islam sanggup khianat dan menipu, maka pada siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan umat Islam ini.
Maka, beringatlah, jangan kita mempersia-siakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.
Walaupun nilai amanah itu mungkin kelihatan kecil di mata kita, namun ianya tetap dihitung dan dibalas oleh Allah SWT.
Jadilah umat Islam yang sentiasa peka dan menzahirkan penentangan terhadap segala pengkhianatan di depan mata.
Credit foto & artikel : Facebook Rasmi Selangor Royal Office