21 Julai 2023 ~ DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru umat Islam di negeri Selangor agar memahami dan menghayati intipati Khutbah Jumaat bertajuk “DOSA MENGUMPAT DAN MENCACI” yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid seluruh negeri Selangor, hari ini.
Senada dengan isi kandungan khutbah berkenaan, Baginda turut ingin menekankan bahayanya perbuatan mengumpat, mencela, mencaci, memaki hamun apatah lagi memfitnah yang mana ianya tergolong di dalam dosa besar yang lebih buruk daripada membunuh.
Titah Baginda, segala perbuatan dan tingkah laku seumpamanya bukan hanya menjatuhkan maruah diri malah mengundang kepada sengketa dan permusuhan yang berpanjangan hingga menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat.
Baginda sebelum ini sering menasihati umat Islam agar tidak terjerumus di dalam perbuatan terkutuk dan tercela ini. Baginda bimbang jika amalan memfitnah serta caci-mencaci ini tidak dibendung, perpecahan umat Islam khususnya di Selangor ini akan menjadi semakin parah dan tidak terkawal.
Menerusi pemerhatian Baginda, perbuatan fitnah dan caci-mencaci ini menjadi lebih ketara dan dilakukan tanpa rasa takut dan malu kepada Allah SWT setiap kali menjelang pilihanraya, seolah-olah musim menjelang pilihanraya adalah pesta yang menghalalkan mencaci maki, mengumpat dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi dari rakyat.
Baginda juga pernah berpesan ketika pembubaran Dewan Negeri Selangor pada 19 Jun yang baru lalu bahawa isu-isu berkaitan dengan kaum, agama dan Institusi diraja tidak seharusnya diheret bagi dijadikan bahan berkempen. Baginda menegaskan perkara ini agar perbalahan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam tidak berlaku dan hubungan antara kaum di Negara ini tidak terjejas.
Tegas Baginda, Islam amat mengutamakan keharmonian hidup bermasyarakat dan menekankan umatnya untuk sentiasa berbaik-baik sesama umat Islam dan bertoleransi dengan orang-orang bukan Islam mengikut lunas, batas dan akhlak Islam.
Perlembagaan Persekutuan telah menjamin Islam sebagai agama Persekutuan dan ianya akan tetap terpahat dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak.
Raja dan Sultan pula berperanan sebagai Ketua Agama bagi negeri-negeri dan mestilah dihormati dan ditaati sama ada suka atau sebaliknya selagi mereka patuh kepada perintah Allah SWT serta tidak menyuruh melakukan maksiat. Sultan adalah payung yang melindungi sekalian rakyat jelata di bawah naungannya. Ini berdasarkan hadis nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahuanhuma:
“Wajib ke atas seorang muslim dengar dan taat (kepada ulil amri) dalam perkara yang dia suka atau benci, melainkan disuruh untuk melakukan maksiat, maka jika disuruh untuk melakukan maksiat, tidak perlu dengar dan taat.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Undang-undang negara kita juga memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang melakukan fitnah, penghinaan kepada Institusi raja serta mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini seperti Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Oleh itu, Baginda mengingatkan umat Islam agar berhati- hati dalam apa yang diperkatakan dan jangan sampai menjadi bak kata Pepatah Melayu, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.
Sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri, semua calon dan penyokong diingatkan bahawa tempoh berkempen bukanlah lesen untuk mengumpat, mencela, mencerca, menghina dan memfitnah orang lain dengan sebebasnya.
Ingatlah hukum-hakam Allah SWT akan tetap berjalan dalam keadaan apapun, dan tiada sebab yang boleh menghalalkannya. Ingatlah dan takutlah akan siksa Allah SWT yang amat perit yang menanti di akhirat kelak, janji Allah SWT untuk menghukum dan menyiksa mereka yang mengumpat dan memfitnah adalah benar dan tidak boleh sama sekali kita anggap remeh.
Credit foto & artikel : Facebook Rasmi Selangor Royal Office