20 Oktober 2023 ~DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru sekalian rakyat Negeri Selangor agar menghayati initipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid seluruh Negeri Selangor hari ini.
Mimbar Jumaat membicarakan khutbah bertajuk “MENJADI UMAT TERBAIK”.
Paling penting, seiring dengan saranan khutbah, Baginda menyeru umat Islam agar menjadikan kelaziman untuk mendoakan kesejahteraan dan keamanan di bumi Palestin setiap kali selepas menunaikan solat fardhu 5 waktu.
Doa yang dibaca oleh khatib hari ini antara yang boleh dijadikan panduan:-
“Ya Allah Ya Tuhan kami! Selamatkanlah saudara kami kaum muslimin yang ditindas di bumi Palestin dan di mana sahaja mereka berada. Ya Allah! sayangi dan kasihilah mereka, keluarkanlah mereka dari penindasan serta kesempitan yang mereka alami selama ini. Dengan kuasa-Mu Ya Allah, jadikanlah sebab perjuangan dan doa kami semua, kau kembalikan tanah mereka yang dirampas. Kau hapuskanlah kezaliman yang ada di muka bumi ini. Berikanlah keadilan kepada mereka yang dianiaya serta dizalimi. Ya Allah!Anugerahkanlah kemenangan kepada saudara kami kaum muslimin di Palestin. Berikanlah kepada pejuang-pejuang Islam serta rakyat Palestin kekuatan serta kesabaran menghadapi
kekejaman musuh. Ya Allah! Binalah semula keamanan di bumi Palestin dan kembalikannya ke pangkuan kaum Muslimin.”
Menyentuh mengenai saranan khutbah hari ini, Baginda menegaskan bahawa ciri umat terbaik adalah umat yang berintegriti, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia.
Ke arah itu, Baginda mahu rakyat menerapkan aspek berikut:-
1. Jauhi sebarang bentuk fitnah dan penyebaran maklumat palsu.
2. Hindari diri daripada persepsi negatif dengan mencetuskan sentimen fanatik perkauman, hasutan serta unsur yang bercanggah dengan nilai Islam.
3. Konsisten dalam menyeru manusia beriman ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran
4. Bersama-sama menggembleng tenaga tanpa prejudis dan konspirasi demi menjamin keharmonian.
Credit foto & artikel : Facebook Rasmi Selangor Royal Office