27 Januari 2023 ~ DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenaan menzahirkan penghargaan dan memberi kredit kepada barisan Ahli Jawatankuasa Khutbah dan Panel Khutbah Negeri Selangor bagi tahun 2021-2023 yang telah menghasilkan teks-teks Khutbah Jumaat yang amat baik dan cemerlang sejak tahun lalu.
Titah Baginda, topik yang dipilih serta isi kandungan khutbah-khutbah Jumaat yang disampaikan setiap minggu amat bertepatan dan sesuai dengan situasi semasa, dan ada kaitan dengan isu-isu yang sedang didepani oleh umat Islam dan masyarakat di negara ini.
Baginda berpandangan isi kandungan khutbah Jumaat yang difokuskan juga adalah padat, tepat dan mudah difahami oleh masyarakat dengan penggunaan bahasa yang ringkas dan jelas.
Antara tajuk-tajuk yang menyentuh tentang hal-hal semasa yang pernah diketengahkan dalam khutbah Jumaat seperti Bahana Nikah Sindiket, Rasuah, Bahaya Pemikiran Islam Liberal, Kewajipan Mengundi Dalam Pilihanraya, Banggakah Kita Jadi Tukang Viral Fitnah di Media Sosial, Sultan Adil dan Bijak Dambaan Rakyat, Lindungi Harta Awasi Scammer, Derma Organ Demi Kehidupan, Hati-hati Dengan Hati, Biarkan Luncai Terjun Dengan Labu-labunya, Fitnah Merosakkan Ummah, Iktibar Balik Kampung, Islam Menolak Pluralisme Agama dan Vaksin Ikhtiar Terbaik.
Khutbah Jumaat minggu ini pula membawa tajuk Bijak Menyingkapi Pendapat.
Lazimnya, Baginda akan disembah maklum dengan isi kandunbeberapa hari sebelum, di mana Baginda sendiri teruja menantikan kupasan tajuk-tajuk yang dipilih.
Baginda berharap Ahli Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh YAD Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin serta Panel Khutbah yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sahibus Samahah Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, akan meneruskan momentum cemerlang ini dan tampil dengan tajuk, naratif dan isi kandungan khutbah Jumaat yang relevan dengan keadaan semasa.
Apa yang lebih penting, Baginda mahu agar khutbah Jumaat menjadi antara platform wajib bagi umat Islam di Malaysia untuk merangsang dan menyegarkan kembali pemikiran mereka mengenai isu-isu berkaitan syiar Agama Islam.
Credit foto & artikel : Instagram Rasmi Selangor Royal Office